Isnin, 29 Mac 2010

16 mangsa pemerdagangan manusia lari dari depot tahanan

SEPANG 28 Mac – Seramai 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar yang diberi perlindungan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini melarikan diri semalam.

Kejadian itu berlaku antara pukul 5 pagi dan 7 pagi membabitkan 12 lelaki Afghanistan dan empat lelaki Myanmar yang berusia antara 22 dan 48 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan menggerakkan operasi mencari sejurus menyedari kehilangan 16 mangsa itu pada pukul 7 pagi semalam.

“Usaha mencari mereka bagaimanapun masih belum berhasil. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan 16 mangsa ini supaya menghubungi kita,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, 12 warga Afghanistan yang melarikan diri itu adalah antara 18 rakyat dari negara itu yang diselamatkan di Tanjung Karang, Selangor ketika dipercayai cuba diseludup ke Australia pada tahun lalu.

“Mereka ini mungkin tidak mahu dihantar pulang ke negara asal dan memilih untuk melarikan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia itu diberi perlindungan oleh pihak tertentu.

“Kita mahu mengingatkan orang ramai bahawa sesiapa yang melindungi mereka ini boleh didakwa dan jika didapati bersalah boleh dipenjara 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 di bawah Seksyen 15, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat kes berkenaan.

Tindakan sewajarnya juga akan diambil ke atas petugas Imigresen sekiranya kes ini berpunca daripada kecuaian mereka, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai 16 mangsa itu boleh menghubungi Pengarah Imigresen Selangor, Johari Yusof di talian 019-2649061 atau Zainol Azalan Daud di talian 013-9811767.

Senarai mangsa yang melarikan diri;

1. Mohd. Ali Sultan (Afghanistan)

2. Mohd. Ayub Mohd Ali (Afghanistan)

3. Syaigul Sayfali (Afghanistan)

4. Ahmad Janali (Afghanistan)

5. Hussaini Ali Sultan (Afghanistan)

6. Mohd. Amin Sultan (Afghanistan)

7. Mohd. Reza Hussain (Afghanistan)

8. Ghulam Haidar Yusof Ali (Afghanistan)

9. Ghulam Sulkhi M. Anuwar (Afghanistan)

10. Mohd. Ali Gambarli (Afghanistan)

11. Rohulloh Yusof (Afghanistan)

12. Gambarli Jumali (Afghanistan)

13. Ko Kyaw (Myanmar)

14. Tho (Myanmar)

15. Ata (Myanmar)

16. Epo (Myanmar)

Rabu, 24 Februari 2010

Banteras pekerja asing berniaga



PUTRAJAYA 22 Feb. – Polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah membanteras pekerja asing yang berniaga secara tidak sah di pasar-pasar di seluruh negara.

Mengumumkan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tindakan turut dikenakan ke atas peniaga tempatan yang bersekongkol dengan menyerahkan lesen mereka kepada warga asing.

‘‘Kita akan kenal pasti status pekerja asing di pasar iaitu sama ada dia hanya berperanan sebagai pekerja atau terlibat dengan aktiviti jualan.

‘‘Penguat kuasa boleh dapatkan maklumat daripada peniaga sekeliling untuk kenal pasti status pekerja asing berkenaan, mereka tahu sama ada pemegang lesen pernah muncul di gerai atau menyerahkan gerainya kepada pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kemunculan peniaga warga asing di pasar termasuk di pasar malam telah menjejaskan perniagaan penjaja tempatan.

‘‘Mereka (pekerja asing) sepatutnya bekerja di sini dan bukannya menjalankan perniagaan, lebih-lebih lagi jika terdapat PATI yang turut berniaga,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan pada masa ini belum memutuskan untuk menjalankan operasi besar-besaran ke atas PATI.

‘‘Pembanterasan PATI dijalankan secara sepanjang masa, kita tidak mahu sesiapa yang memasuki negara mengikut cara yang tidak sah.

‘‘Kita sedang meneliti keadaan, kita mahu hasilkan jalan penyelesaian jangka panjang menyeluruh mengenai isu pekerja asing.” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini mengumumkan penangguhan operasi membanteras PATI yang dijadualkan bulan ini.

Penangguhan itu dibuat selepas para majikan memberi komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membersihkan PATI sebelum penguatkuasaan dijalankan.

Polis Tahan Lelaki Kudung Palsukan Pasport Indonesia

KUALA LUMPUR: Polis membongkar satu kegiatan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan kad pekerja warga Indonesia serta menahan seorang lelaki dalam serbuan di premis rumah kedai di Jalan Mewah 4, Ampang Mewah di sini malam tadi.

Dalam serbuan hasil maklumat orang ramai kira-kira pukul 10 malam itu, lelaki warga Indonesia yang kudung tangan kiri itu ditahan di sebuah rumah sewa di tingkat empat bangunan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata sindiket yang dipercayai terbesar di Lembah Klang itu telah beroperasi sejak setahun lepas dengan mengenakan caj yang murah.

"Hasil maklumat orang awam, kita menyerbu rumah berkenaan setelah membuat pantauan selama empat jam sebelum menahan lelaki berusia 40-an tersebut dalam rumah berkenaan.

"Siasatan awal terhadap lelaki itu mendapati sindiket tersebut mengenakan bayaran sebanyak RM150 bagi setiap pasport dan RM25 untuk satu kad pekerja palsu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini malam tadi. Abdul Jalil berkata siasatan awal juga mendapati sindiket itu mengeluarkan kira-kira empat atau lima pasport setiap hari dan dianggarkan sebanyak 1,500 pasport termasuk kad pekerja berjaya dipalsukan dan diperbaharui oleh sindiket itu.

Katanya sindiket tersebut menggunakan peralatan canggih termasuk mesin pengimbas dan komputer serta alat lain bagi memastikan setiap pasport dan kad pekerja yang dihasilkan nampak asli dan dapat mengaburi mata pihak berkuasa.

"Pelanggan mereka yang terdiri daripada warga Indonesia datang ke rumah ini atau mereka sendiri akan berjumpa pelanggan bagi proses mengambil gambar dan menyiapkan dokumen palsu.

"Kita juga percaya suspek tidak bergerak seorang diri, melalui pemantauan suspek mempunyai kawan yang aktif bersama, kita akan buru saki baki anggota sindiket ini," katanya.

Beliau juga menyeru orang ramai yang mencurigai ketulenan pasport dan pas pekerja-pekerja mereka supaya terus datang ke Jabatan Imigresen bagi mengesahkan ketulenannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat atau memalsukan atau meminda sesuatu endorsmen atau dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit, pas atau sijil. - BERNAMA

Khamis, 18 Februari 2010

'Bukan lambakan, mereka pekerja sah'

Mukadimah:-

MANA-mana pihak yang berkunjung ke ibu kota pada cuti umum, pasti terkejut melihat kelibat warga asing yang memenuhi setiap ceruk Kuala Lumpur.

Barangkali, kerana tiada warga tempatan yang lebih gemar pulang ke kampung halaman, kelibat mereka, antaranya warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia mendominasi suasana sehinggakan timbul andaian berlaku lambakan luar biasa.

Bagi Jabatan Imigresen, agensi itu mempunyai data yang tepat sama ada pengamatan mata kasar tadi benar-benar mempunyai fakta bahawa wujudnya lambakan luar biasa warga asing di negara ini. Wartawan, SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM menemubual Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman semalam bagi mendapatkan gambaran sebenar senario itu.

UTUSAN Malaysia: Benarkah berlaku lambakan warga asing yang luar biasa di negara ini?

ABDUL RAHMAN: Sebenarnya bukan begitu. Mereka ini tiba di negara ini kerana keperluan industri yang mahukan mereka seperti sektor perkilangan yang mahukan pekerja atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang mahukan pelajar termasuk pelancong.

Adakah mereka ini pekerja asing tanpa izin (PATI) atau pekerja yang sah?

ABDUL RAHMAN: Mereka ini adalah pekerja yang mempunyai pas sehingga disahkan sebaliknya. Saya jangkakan hanya 10 peratus daripada mereka tinggal melebihi masa. Ini kerana bukan senang mereka nak datang ke negara ini seperti warga Nepal dan India. Mereka perlu naik dua atau tiga kapal terbang. Selain itu mereka perlu melalui penguatkuasaan yang ketat di pintu-pintu masuk, lainlah kalau warga Indonesia, mereka boleh menyelinap masuk di 'jalan-jalan tikus'.

Walaupun mereka bekerja secara sah, adakah jumlah mereka membimbangkan?

ABDUL RAHMAN: Memang jumlah mereka menakutkan tetapi mereka hadir atas sebab dan tujuan. Namun kekhuatiran kita adalah mereka yang tinggal melebihi masa. Jadi, kita harap semua agensi bertanggungjawab seperti pengusaha kolej dan kilang memastikan mereka memiliki permit yang sah.

Mengikut rekod Imigresen, berapakah jumlah sebenar warga asing di negara ini?

ABDUL RAHMAN: Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen pada ketika ini terdapat 1.6 juta warga asing yang bekerja secara sah di negara ini. Ia meliputi 1.5 juta orang pemegang pas lawatan kerja sementara, 32,000 pemegang pas penggajian dan 22,000 pemegang pas iktisas.

Ini tidak termasuk jumlah pelancong dan mereka yang bukan dikategorikan sebagai pekerja seperti pemegang pas pelajar seramai 60,000 dan tanggungan keluarga mereka seramai 98,000.

Bagaimana penguatkuasaan Imigresen bagi memburu mereka yang datang secara tidak sah?

ABDUL RAHMAN: Operasi memburu warga asing tidak pernah berhenti terutama mereka yang terlibat dengan jenayah dan maksiat seperti pelacuran termasuk pembantu rumah. Cuma, tumpuan operasi besar-besaran melibatkan mereka yang bekerja di barisan hadapan seperti pelayan restoran dan sebagainya.