Ahad, 27 September 2009

KDN SIASAT TAKTIK LICIK WANITA CHINA

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan sedang menyiasat taktik licik wanita warga China yang berkahwin dengan lelaki tempatan untuk mengabui mata pihak berkuasa daripada kegiatan pelacuran mereka.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jumlah mereka yang terlibat bagaimanapun masih dalam bilangan yang kecil dan terkawal.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak berkaitan agar meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelak undang-undang negara disalah guna dan dieksploitasi untuk kegiatan tidak bermoral.

"Walaupun Malaysia sedang mempercepatkan proses kenegaraan, status penduduk tetap (PR) dan sijil kelahiran lewat namun ia tidak bermakna kerajaan akan berkompromi dalam perkara sedemikian rupa.

"Insya-Allah dalam masa setahun ini, kita boleh sediakan proses yang lebih efisien, telus dan adil," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dihubungi turut menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius mengenai isu berkaitan pelacuran.

Beliau berkata, pelbagai operasi dijalankan bersama agensi kerajaan lain seperti Jabatan Imigresen bagi membanteras perkara tersebut.

"Kita akan ambil tindakan tegas jika didapati wanita-wanita itu terlibat dalam pelacuran dan menggunakan pas lawatan sosial jangka panjang.

"Kita akan rampas pas lawatan sosial jangka panjang yang diberikan kepada mereka dan menghantar pulang ke negara asal.

"Tidak kiralah mereka telah berkahwin dengan lelaki tempatan kerana jika mereka ditangkap di pusat pelacuran maka kita akan ambil tindakan," katanya di sini hari ini.

Ditanya jika Akta Imigresen sedia ada perlu dikaji, Musa menjelaskan, ia tidak perlu memadai dengan memperketatkan penguatkuasaan.

Semalam, Utusan Malaysia mendedahkan wanita warga China yang terbabit dengan sindiket pelacuran di negara ini kini semakin berani termasuk sanggup berkahwin dengan lelaki tempatan bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Tujuan mereka berkahwin tidak ikhlas, sebaliknya hanya untuk dijadikan platform supaya boleh tinggal lebih lama di Malaysia bagi tujuan pelacuran.

Melalui perkahwinan itu, mereka boleh tinggal selama setahun di negara ini melalui pemberian pas lawatan sosial jangka panjang.

PANTAU WARGA ASING

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik menggesa pihak berkuasa memantau aktiviti warga asing di negara ini secara berterusan bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan permit yang diberikan.

Presiden Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, kegagalan pihak berkuasa berbuat demikian akan mendorong segelintir mereka mengambil kesempatan terlibat dengan masalah sosial atau jenayah.

“Pihak polis dan imigresen perlu mewujudkan sistem pemantauan yang berkesan iaitu mengkaji secara mendalam tujuan seseorang rakyat asing ingin ke negara ini dan mengenakan syarat ketat jika mereka mahu memperbaharui pas diberikan.

“Undang-undang yang ada di negara ini sudah cukup, namun apa yang perlu, mengetatkan akta yang ada,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pembongkaran Jabatan Imigresen melalui akhbar hari ini berhubung taktik digunakan China Doll atau wanita dari China yang sanggup berkahwin dengan lelaki tempatan bagi memastikan mereka dibenarkan tinggal lebih lama di Malaysia.

Dengan perkahwinan itu, China Doll akan dibenarkan tinggal selama setahun di negara ini melalui pemberian pas lawatan sosial jangka panjang dan boleh memperbaharuinya setiap tahun berbanding tempoh hanya tiga bulan sebagai pelancong.

Kemudahan yang diberikan oleh Jabatan Imigresen itu dieksploitasi wanita berkenaan bagi memastikan mereka dapat terus bekerja dengan sindiket pelacuran di negara ini.

Abu Zahar berkata, setiap pegawai di jabatan atau bahagian berkenaan perlu komited sepenuhnya membanteras gejala tersebut dan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap sesiapa yang didapati tidak bersungguh-sungguh memantau masalah itu.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat tindakan tegas perlu dikenakan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas kemasukan.

“Walaupun China Doll ini berkahwin dengan rakyat tempatan, mereka perlu dikenakan tindakan kerana melacur,” katanya.

Sivamurugan berkata, cara terbaik mengelakkan warga asing mempermainkan undang-undang negara adalah dengan memantau mereka setiap masa dan jika bersalah, diharamkan masuk semula ke negara ini.

“Malaysia adalah negara Islam dan penuh dengan ciri-ciri ketimuran, jadi kegiatan ini jika dibiarkan, akan menjadikan Malaysia sarang gejala dan masalah sosial,” katanya.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, walaupun negara ini mengalu-alukan pelancong asing, tetapi ia adalah untuk tujuan yang positif antaranya lawatan, bekerja atau belajar.

Katanya, jika ada warga asing yang cuba mengambil kesempatan dengan ‘kebaikan’ kerajaan dan bermain dengan undang-undang negara ini, mereka perlu dikenakan tindakan tegas.

Tambah beliau, kegiatan tidak bermoral mereka akan memburukkan imej Malaysia.

“Saya melihat masalah ini sebagai isu serius kerana ia membabitkan nama baik negara.

“Jika benar ada gadis yang berkahwin dengan lelaki tempatan untuk melacur, pihak berkuasa perlu membanterasnya,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Bahagian Wanita dan Undang-undang Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Lee Sok Wah berkata, kes wanita warga asing berkahwin dengan lelaki tempatan untuk pelacuran sememangnya sudah wujud sebelum ini, namun jumlahnya amat kecil.

“Apa yang boleh dilakukan adalah Jabatan Imigresen perlu menyemak sama ada perkahwinan itu sah atau sebaliknya dan mengambil tindakan atau hukuman sewajarnya jika ia menyalahi undang-undang.

“Kaedah mengetatkan undang-undang kemasukan warga asing atau pelancong luar akan menghalang dan mungkin menjejaskan sektor pelancongan negara,” katanya.

Selasa, 22 September 2009

SURI RUMAH DIDENDA RM 15,000

Suri rumah didenda RM15,000 kerana langgar Akta Pasport

KAJANG: Seorang suri rumah dikenakan hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Semenyih selepas didapati bersalah bersubahat bersama dua orang lain dengan mengemukakan salinan gambar milik orang ketiga dalam permohonan pasportnya dua tahun lalu.

Hakim G. Ramesh memerintahkan M. Saratha Malar, 43, menjalani hukuman tiga bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Beliau memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan serta menolak permohonan peguam tertuduh, V. Murugan untuk menangguhkan hukuman.

Pada 27 Julai, 2007, dua tertuduh lain, Jerome Xavier Albert Xavier, 27 dan V.Manimala, 22, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan mulai tarikh tangkapan pada 17 Julai, 2007, selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Kawalan, Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tingkat 2, Blok 1, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, pada pukul 12.30 tengah hari, 17 Julai, 2007.

Terdahulu itu, pegawai pendakwa V. Kasturi Bai dari Jabatan Imigresen memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman berat terhadap Saratha kerana kesalahan itu adalah serius dan kes seperti itu sering berlaku sejak kebelakangan ini.

Semasa merayu meringankan hukuman, Murugan meminta mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara kerana anak guamnya mempunyai tiga orang anak dan ibunya seorang pesakit kencing manis. BERNAMA