Memaparkan catatan dengan label SUMBER: UTUSAN MALAYSIA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SUMBER: UTUSAN MALAYSIA. Papar semua catatan

Isnin, 29 Mac 2010

16 mangsa pemerdagangan manusia lari dari depot tahanan

SEPANG 28 Mac – Seramai 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar yang diberi perlindungan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini melarikan diri semalam.

Kejadian itu berlaku antara pukul 5 pagi dan 7 pagi membabitkan 12 lelaki Afghanistan dan empat lelaki Myanmar yang berusia antara 22 dan 48 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan menggerakkan operasi mencari sejurus menyedari kehilangan 16 mangsa itu pada pukul 7 pagi semalam.

“Usaha mencari mereka bagaimanapun masih belum berhasil. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan 16 mangsa ini supaya menghubungi kita,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, 12 warga Afghanistan yang melarikan diri itu adalah antara 18 rakyat dari negara itu yang diselamatkan di Tanjung Karang, Selangor ketika dipercayai cuba diseludup ke Australia pada tahun lalu.

“Mereka ini mungkin tidak mahu dihantar pulang ke negara asal dan memilih untuk melarikan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia itu diberi perlindungan oleh pihak tertentu.

“Kita mahu mengingatkan orang ramai bahawa sesiapa yang melindungi mereka ini boleh didakwa dan jika didapati bersalah boleh dipenjara 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 di bawah Seksyen 15, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat kes berkenaan.

Tindakan sewajarnya juga akan diambil ke atas petugas Imigresen sekiranya kes ini berpunca daripada kecuaian mereka, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai 16 mangsa itu boleh menghubungi Pengarah Imigresen Selangor, Johari Yusof di talian 019-2649061 atau Zainol Azalan Daud di talian 013-9811767.

Senarai mangsa yang melarikan diri;

1. Mohd. Ali Sultan (Afghanistan)

2. Mohd. Ayub Mohd Ali (Afghanistan)

3. Syaigul Sayfali (Afghanistan)

4. Ahmad Janali (Afghanistan)

5. Hussaini Ali Sultan (Afghanistan)

6. Mohd. Amin Sultan (Afghanistan)

7. Mohd. Reza Hussain (Afghanistan)

8. Ghulam Haidar Yusof Ali (Afghanistan)

9. Ghulam Sulkhi M. Anuwar (Afghanistan)

10. Mohd. Ali Gambarli (Afghanistan)

11. Rohulloh Yusof (Afghanistan)

12. Gambarli Jumali (Afghanistan)

13. Ko Kyaw (Myanmar)

14. Tho (Myanmar)

15. Ata (Myanmar)

16. Epo (Myanmar)

Rabu, 24 Februari 2010

Banteras pekerja asing berniaga



PUTRAJAYA 22 Feb. – Polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah membanteras pekerja asing yang berniaga secara tidak sah di pasar-pasar di seluruh negara.

Mengumumkan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tindakan turut dikenakan ke atas peniaga tempatan yang bersekongkol dengan menyerahkan lesen mereka kepada warga asing.

‘‘Kita akan kenal pasti status pekerja asing di pasar iaitu sama ada dia hanya berperanan sebagai pekerja atau terlibat dengan aktiviti jualan.

‘‘Penguat kuasa boleh dapatkan maklumat daripada peniaga sekeliling untuk kenal pasti status pekerja asing berkenaan, mereka tahu sama ada pemegang lesen pernah muncul di gerai atau menyerahkan gerainya kepada pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kemunculan peniaga warga asing di pasar termasuk di pasar malam telah menjejaskan perniagaan penjaja tempatan.

‘‘Mereka (pekerja asing) sepatutnya bekerja di sini dan bukannya menjalankan perniagaan, lebih-lebih lagi jika terdapat PATI yang turut berniaga,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan pada masa ini belum memutuskan untuk menjalankan operasi besar-besaran ke atas PATI.

‘‘Pembanterasan PATI dijalankan secara sepanjang masa, kita tidak mahu sesiapa yang memasuki negara mengikut cara yang tidak sah.

‘‘Kita sedang meneliti keadaan, kita mahu hasilkan jalan penyelesaian jangka panjang menyeluruh mengenai isu pekerja asing.” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini mengumumkan penangguhan operasi membanteras PATI yang dijadualkan bulan ini.

Penangguhan itu dibuat selepas para majikan memberi komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membersihkan PATI sebelum penguatkuasaan dijalankan.

Khamis, 18 Februari 2010

'Bukan lambakan, mereka pekerja sah'

Mukadimah:-

MANA-mana pihak yang berkunjung ke ibu kota pada cuti umum, pasti terkejut melihat kelibat warga asing yang memenuhi setiap ceruk Kuala Lumpur.

Barangkali, kerana tiada warga tempatan yang lebih gemar pulang ke kampung halaman, kelibat mereka, antaranya warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia mendominasi suasana sehinggakan timbul andaian berlaku lambakan luar biasa.

Bagi Jabatan Imigresen, agensi itu mempunyai data yang tepat sama ada pengamatan mata kasar tadi benar-benar mempunyai fakta bahawa wujudnya lambakan luar biasa warga asing di negara ini. Wartawan, SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM menemubual Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman semalam bagi mendapatkan gambaran sebenar senario itu.

UTUSAN Malaysia: Benarkah berlaku lambakan warga asing yang luar biasa di negara ini?

ABDUL RAHMAN: Sebenarnya bukan begitu. Mereka ini tiba di negara ini kerana keperluan industri yang mahukan mereka seperti sektor perkilangan yang mahukan pekerja atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang mahukan pelajar termasuk pelancong.

Adakah mereka ini pekerja asing tanpa izin (PATI) atau pekerja yang sah?

ABDUL RAHMAN: Mereka ini adalah pekerja yang mempunyai pas sehingga disahkan sebaliknya. Saya jangkakan hanya 10 peratus daripada mereka tinggal melebihi masa. Ini kerana bukan senang mereka nak datang ke negara ini seperti warga Nepal dan India. Mereka perlu naik dua atau tiga kapal terbang. Selain itu mereka perlu melalui penguatkuasaan yang ketat di pintu-pintu masuk, lainlah kalau warga Indonesia, mereka boleh menyelinap masuk di 'jalan-jalan tikus'.

Walaupun mereka bekerja secara sah, adakah jumlah mereka membimbangkan?

ABDUL RAHMAN: Memang jumlah mereka menakutkan tetapi mereka hadir atas sebab dan tujuan. Namun kekhuatiran kita adalah mereka yang tinggal melebihi masa. Jadi, kita harap semua agensi bertanggungjawab seperti pengusaha kolej dan kilang memastikan mereka memiliki permit yang sah.

Mengikut rekod Imigresen, berapakah jumlah sebenar warga asing di negara ini?

ABDUL RAHMAN: Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen pada ketika ini terdapat 1.6 juta warga asing yang bekerja secara sah di negara ini. Ia meliputi 1.5 juta orang pemegang pas lawatan kerja sementara, 32,000 pemegang pas penggajian dan 22,000 pemegang pas iktisas.

Ini tidak termasuk jumlah pelancong dan mereka yang bukan dikategorikan sebagai pekerja seperti pemegang pas pelajar seramai 60,000 dan tanggungan keluarga mereka seramai 98,000.

Bagaimana penguatkuasaan Imigresen bagi memburu mereka yang datang secara tidak sah?

ABDUL RAHMAN: Operasi memburu warga asing tidak pernah berhenti terutama mereka yang terlibat dengan jenayah dan maksiat seperti pelacuran termasuk pembantu rumah. Cuma, tumpuan operasi besar-besaran melibatkan mereka yang bekerja di barisan hadapan seperti pelayan restoran dan sebagainya.

Negara terlalu bergantung kepada pekerja asing - Penganalisis

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Kebanjiran warga asing yang dapat dilihat di sekitar ibu kota ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini menunjukkan betapa serius negara ini bergantung kepada pekerja asing.

Penganalisis sosial, Kamal Affendi Hashim berkata, jumlah pekerja asing yang ramai menunjukkan kebergantungan negara terhadap mereka kerana rakyat tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan bagi pekerjaan tertentu.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan mereka keluar beramai-ramai memenuhi ibu kota ketika cuti panjang sejak Ahad lalu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mereka mendapat pelepasan cuti dari majikan.

"Apa lagi yang mereka hendak buat, mereka bukan seperti kita yang menggunakan kesempatan cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, jika lambakan pekerja asing tidak dikawal, keadaan itu boleh membawa kepada masalah sosial dan semua pihak harus memandang serius kesan daripadanya.

Beliau merujuk beberapa kes jenayah yang melibatkan pekerja asing seperti pergaduhan dan kecurian.

"Kerajaan perlu memberi perhatian pada perkara ini khususnya aspek perdagangan manusia yang melibatkan agensi-agensi pekerjaan yang mengambil kesempatan ke atas keperluan tenaga manusia di dalam negara," kata Kamal Afendi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berasa terkejut dengan lambakan warga asing semasa cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA), Alwi Bavutty menjelaskan, kebanjiran warga asing tidak sepatutnya dilihat daripada sudut negatif.

"Sudah menjadi perkara biasa untuk siapa pun sahaja menggunakan musim cuti dengan keluar melakukan pelbagai aktiviti seperti berjumpa rakan-rakan," katanya.

Bagaimanapun, Alwi berkata, pihak berkuasa masih boleh meletakkan anggotanya untuk membuat pemantauan di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kebanjiran pekerja asing itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah turut berlaku ketika perayaan utama yang lain atau pada cuti hujung minggu.

"Malah ia turut berlaku di beberapa bandar besar yang lain di Malaysia," katanya.

Ditanya sama ada kebanjiran mereka dikaitkan dengan masalah pendatang tanpa izin (PATI), beliau menjelaskan, perkara tersebut lebih berkait dengan persepsi masyarakat.

"Kebanyakan kita menggambarkan mereka sebagai PATI, tetapi mereka mempunyai permit yang sah dan bekerja dalam sektor yang penting," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah mereka yang terlalu ramai akan diberi perhatian bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan supaya tidak menjadi bebanan kepada negara kelak.

Justeru, beliau yakin, kerajaan akan terus berusaha menangani masalah itu termasuk mengambil tindakan kepada majikan yang menggunakan kesempatan untuk mengambil pekerja asing tanpa permit.

Rabu, 6 Januari 2010

PEKERJA ASING TIDAK BOLEH BUAT DUA KERJA PADA SATU-SATU MASA...

PUTRAJAYA 5 Jan. - Jabatan Imigresen memberi tempoh sebulan kepada majikan tempatan memahami peraturan yang tidak membenarkan pekerja asing melakukan pekerjaan di luar permit dikeluarkan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, jabatan itu tidak pernah meluluskan sebarang permohonan untuk membenarkan pekerja asing melakukan dua pekerjaan pada satu-satu masa.

Kata beliau, jabatan itu juga tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kepada pekerja asing untuk bekerja di barisan hadapan seperti pelayan, jurujual dan juruwang.

Sebagai contoh, katanya, seseorang pembantu rumah tidak dibenarkan bekerja di rumah saudara mara, di kedai runcit atau sebagai tukang gunting rambut.

"Biasanya majikan memberi alasan tidak tahu bahawa tindakan menyuruh pembantu rumah mereka melakukan kerja tambahan menyalahi undang-undang.

"Mulai sekarang kita yakin, dalam tempoh sebulan, majikan akan memahami perbuatan itu adalah salah memandangkan inilah kesalahan paling banyak dikesan di seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Jabatan Imigresen akan memaklumkan kepada majikan mengenai perkembangan ini menggunakan saluran media, menyebarkan risalah, berdialog dan berjumpa dengan persatuan.

"Jika masih tidak dipatuhi, mereka akan dikenakan tindakan," tegas beliau.

Majikan yang ingkar akan didakwa mengikut Akta Imigresen Seksyen 55 yang boleh didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara manakala pekerja boleh didenda RM200 mengikut Seksyen 39B.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menjelaskan, kebanyakan majikan cuba mengaut keuntungan dengan membayar levi lebih murah.

"Sebagai contoh, untuk membayar levi penggunting rambut, majikan perlu membayar RM1,800 namun mereka memohon permit petani dengan kita kerana hanya perlu membayar RM350 sahaja," katanya.

Isnin, 28 Disember 2009

'AWANG HITAM' IMIGRESEN BIMBANG...

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Jabatan Imigresen melahirkan rasa bimbang dengan trend peningkatan kemasukan secara haram warga Afrika atau dikenali sebagai ‘Awang Hitam’ ke negara ini.

Ini kerana siasatan mendapati mereka yang memasuki negara ini melalui cara tersebut banyak menyumbang dalam kegiatan jenayah.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Raja Mohammad Raja Ismail berkata, antara cara yang digunakan oleh mereka untuk memasuki Malaysia ialah melalui ‘jalan tikus’ dan pasport palsu yang didalangi oleh sindiket antarabangsa.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil tangkapan warga berkenaan di Lembah Klang dalam tempoh Januari hingga November lalu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah tangkapan terbabit di atas faktor keselamatan.

“Bilangan kemasukan ‘Awang Hitam’ ke negara ini menggunakan dokumen palsu walaupun masih kecil jumlahnya tetapi perlu dipandang serius kerana menimbulkan banyak masalah dan jenayah.

“Imigresen sedar perkara ini dan akan bertindak dan melakukan operasi secara berterusan untuk memburu mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini mengenai kebanjiran warga Afrika sehingga menimbulkan ketidakselesaan di kalangan penduduk tempatan.

Dalam laporan tersebut, sebanyak 56,240 warga negara itu dikesan memasuki Malaysia secara sah, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Seramai 21 warga Afrika ditahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana pelbagai kesalahan jenayah.

Dalam pada itu, Raja Mohammad memberitahu, selain memasuki negara menggunakan jalan tikus dan pasport palsu, warga Afrika juga dikesan tinggal lebih masa di negara ini.

Ahad, 27 September 2009

KDN SIASAT TAKTIK LICIK WANITA CHINA

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan sedang menyiasat taktik licik wanita warga China yang berkahwin dengan lelaki tempatan untuk mengabui mata pihak berkuasa daripada kegiatan pelacuran mereka.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jumlah mereka yang terlibat bagaimanapun masih dalam bilangan yang kecil dan terkawal.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak berkaitan agar meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelak undang-undang negara disalah guna dan dieksploitasi untuk kegiatan tidak bermoral.

"Walaupun Malaysia sedang mempercepatkan proses kenegaraan, status penduduk tetap (PR) dan sijil kelahiran lewat namun ia tidak bermakna kerajaan akan berkompromi dalam perkara sedemikian rupa.

"Insya-Allah dalam masa setahun ini, kita boleh sediakan proses yang lebih efisien, telus dan adil," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dihubungi turut menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius mengenai isu berkaitan pelacuran.

Beliau berkata, pelbagai operasi dijalankan bersama agensi kerajaan lain seperti Jabatan Imigresen bagi membanteras perkara tersebut.

"Kita akan ambil tindakan tegas jika didapati wanita-wanita itu terlibat dalam pelacuran dan menggunakan pas lawatan sosial jangka panjang.

"Kita akan rampas pas lawatan sosial jangka panjang yang diberikan kepada mereka dan menghantar pulang ke negara asal.

"Tidak kiralah mereka telah berkahwin dengan lelaki tempatan kerana jika mereka ditangkap di pusat pelacuran maka kita akan ambil tindakan," katanya di sini hari ini.

Ditanya jika Akta Imigresen sedia ada perlu dikaji, Musa menjelaskan, ia tidak perlu memadai dengan memperketatkan penguatkuasaan.

Semalam, Utusan Malaysia mendedahkan wanita warga China yang terbabit dengan sindiket pelacuran di negara ini kini semakin berani termasuk sanggup berkahwin dengan lelaki tempatan bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Tujuan mereka berkahwin tidak ikhlas, sebaliknya hanya untuk dijadikan platform supaya boleh tinggal lebih lama di Malaysia bagi tujuan pelacuran.

Melalui perkahwinan itu, mereka boleh tinggal selama setahun di negara ini melalui pemberian pas lawatan sosial jangka panjang.

PANTAU WARGA ASING

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik menggesa pihak berkuasa memantau aktiviti warga asing di negara ini secara berterusan bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan permit yang diberikan.

Presiden Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, kegagalan pihak berkuasa berbuat demikian akan mendorong segelintir mereka mengambil kesempatan terlibat dengan masalah sosial atau jenayah.

“Pihak polis dan imigresen perlu mewujudkan sistem pemantauan yang berkesan iaitu mengkaji secara mendalam tujuan seseorang rakyat asing ingin ke negara ini dan mengenakan syarat ketat jika mereka mahu memperbaharui pas diberikan.

“Undang-undang yang ada di negara ini sudah cukup, namun apa yang perlu, mengetatkan akta yang ada,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pembongkaran Jabatan Imigresen melalui akhbar hari ini berhubung taktik digunakan China Doll atau wanita dari China yang sanggup berkahwin dengan lelaki tempatan bagi memastikan mereka dibenarkan tinggal lebih lama di Malaysia.

Dengan perkahwinan itu, China Doll akan dibenarkan tinggal selama setahun di negara ini melalui pemberian pas lawatan sosial jangka panjang dan boleh memperbaharuinya setiap tahun berbanding tempoh hanya tiga bulan sebagai pelancong.

Kemudahan yang diberikan oleh Jabatan Imigresen itu dieksploitasi wanita berkenaan bagi memastikan mereka dapat terus bekerja dengan sindiket pelacuran di negara ini.

Abu Zahar berkata, setiap pegawai di jabatan atau bahagian berkenaan perlu komited sepenuhnya membanteras gejala tersebut dan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap sesiapa yang didapati tidak bersungguh-sungguh memantau masalah itu.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat tindakan tegas perlu dikenakan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas kemasukan.

“Walaupun China Doll ini berkahwin dengan rakyat tempatan, mereka perlu dikenakan tindakan kerana melacur,” katanya.

Sivamurugan berkata, cara terbaik mengelakkan warga asing mempermainkan undang-undang negara adalah dengan memantau mereka setiap masa dan jika bersalah, diharamkan masuk semula ke negara ini.

“Malaysia adalah negara Islam dan penuh dengan ciri-ciri ketimuran, jadi kegiatan ini jika dibiarkan, akan menjadikan Malaysia sarang gejala dan masalah sosial,” katanya.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, walaupun negara ini mengalu-alukan pelancong asing, tetapi ia adalah untuk tujuan yang positif antaranya lawatan, bekerja atau belajar.

Katanya, jika ada warga asing yang cuba mengambil kesempatan dengan ‘kebaikan’ kerajaan dan bermain dengan undang-undang negara ini, mereka perlu dikenakan tindakan tegas.

Tambah beliau, kegiatan tidak bermoral mereka akan memburukkan imej Malaysia.

“Saya melihat masalah ini sebagai isu serius kerana ia membabitkan nama baik negara.

“Jika benar ada gadis yang berkahwin dengan lelaki tempatan untuk melacur, pihak berkuasa perlu membanterasnya,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Bahagian Wanita dan Undang-undang Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Lee Sok Wah berkata, kes wanita warga asing berkahwin dengan lelaki tempatan untuk pelacuran sememangnya sudah wujud sebelum ini, namun jumlahnya amat kecil.

“Apa yang boleh dilakukan adalah Jabatan Imigresen perlu menyemak sama ada perkahwinan itu sah atau sebaliknya dan mengambil tindakan atau hukuman sewajarnya jika ia menyalahi undang-undang.

“Kaedah mengetatkan undang-undang kemasukan warga asing atau pelancong luar akan menghalang dan mungkin menjejaskan sektor pelancongan negara,” katanya.