Khamis, 18 Februari 2010

'Bukan lambakan, mereka pekerja sah'

Mukadimah:-

MANA-mana pihak yang berkunjung ke ibu kota pada cuti umum, pasti terkejut melihat kelibat warga asing yang memenuhi setiap ceruk Kuala Lumpur.

Barangkali, kerana tiada warga tempatan yang lebih gemar pulang ke kampung halaman, kelibat mereka, antaranya warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia mendominasi suasana sehinggakan timbul andaian berlaku lambakan luar biasa.

Bagi Jabatan Imigresen, agensi itu mempunyai data yang tepat sama ada pengamatan mata kasar tadi benar-benar mempunyai fakta bahawa wujudnya lambakan luar biasa warga asing di negara ini. Wartawan, SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM menemubual Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman semalam bagi mendapatkan gambaran sebenar senario itu.

UTUSAN Malaysia: Benarkah berlaku lambakan warga asing yang luar biasa di negara ini?

ABDUL RAHMAN: Sebenarnya bukan begitu. Mereka ini tiba di negara ini kerana keperluan industri yang mahukan mereka seperti sektor perkilangan yang mahukan pekerja atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang mahukan pelajar termasuk pelancong.

Adakah mereka ini pekerja asing tanpa izin (PATI) atau pekerja yang sah?

ABDUL RAHMAN: Mereka ini adalah pekerja yang mempunyai pas sehingga disahkan sebaliknya. Saya jangkakan hanya 10 peratus daripada mereka tinggal melebihi masa. Ini kerana bukan senang mereka nak datang ke negara ini seperti warga Nepal dan India. Mereka perlu naik dua atau tiga kapal terbang. Selain itu mereka perlu melalui penguatkuasaan yang ketat di pintu-pintu masuk, lainlah kalau warga Indonesia, mereka boleh menyelinap masuk di 'jalan-jalan tikus'.

Walaupun mereka bekerja secara sah, adakah jumlah mereka membimbangkan?

ABDUL RAHMAN: Memang jumlah mereka menakutkan tetapi mereka hadir atas sebab dan tujuan. Namun kekhuatiran kita adalah mereka yang tinggal melebihi masa. Jadi, kita harap semua agensi bertanggungjawab seperti pengusaha kolej dan kilang memastikan mereka memiliki permit yang sah.

Mengikut rekod Imigresen, berapakah jumlah sebenar warga asing di negara ini?

ABDUL RAHMAN: Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen pada ketika ini terdapat 1.6 juta warga asing yang bekerja secara sah di negara ini. Ia meliputi 1.5 juta orang pemegang pas lawatan kerja sementara, 32,000 pemegang pas penggajian dan 22,000 pemegang pas iktisas.

Ini tidak termasuk jumlah pelancong dan mereka yang bukan dikategorikan sebagai pekerja seperti pemegang pas pelajar seramai 60,000 dan tanggungan keluarga mereka seramai 98,000.

Bagaimana penguatkuasaan Imigresen bagi memburu mereka yang datang secara tidak sah?

ABDUL RAHMAN: Operasi memburu warga asing tidak pernah berhenti terutama mereka yang terlibat dengan jenayah dan maksiat seperti pelacuran termasuk pembantu rumah. Cuma, tumpuan operasi besar-besaran melibatkan mereka yang bekerja di barisan hadapan seperti pelayan restoran dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan