Sabtu, 16 Januari 2010

Setinggan PATI diserbu Imigresen..



SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam operasi di rumah kongsi Jalan
Putramas, Jalan Kuching, Kuala Lumpur malam kelmarin.


KUALA LUMPUR - Kurang 24 jam selepas didedahkan Kosmo!, kawasan setinggan warga asing di Jalan Kuching di sini diserbu sepasukan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan malam kelmarin.

Serbuan di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada pukul 12 malam itu turut melibatkan Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ketika serbuan, sebilangan penghuni setinggan di situ yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) sempat melarikan diri sebaik menyedari kedatangan pihak berkuasa.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Amdan Yahaya berkata, biarpun tidak dapat menangkap warga asing yang melarikan diri itu, namun pihaknya berjaya memeriksa 54 penduduk di situ.

Menurutnya, sembilan warga Indonesia yang ditahan didapati tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"PATI yang ditahan itu terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

"Mereka kemudian telah dibawa ke Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan untuk dibuat dokumentasi," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini semalam.

Amdan memberitahu, semua PATI terbabit dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih, Kajang..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan