Ahad, 27 September 2009

PANTAU WARGA ASING

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik menggesa pihak berkuasa memantau aktiviti warga asing di negara ini secara berterusan bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan permit yang diberikan.

Presiden Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, kegagalan pihak berkuasa berbuat demikian akan mendorong segelintir mereka mengambil kesempatan terlibat dengan masalah sosial atau jenayah.

“Pihak polis dan imigresen perlu mewujudkan sistem pemantauan yang berkesan iaitu mengkaji secara mendalam tujuan seseorang rakyat asing ingin ke negara ini dan mengenakan syarat ketat jika mereka mahu memperbaharui pas diberikan.

“Undang-undang yang ada di negara ini sudah cukup, namun apa yang perlu, mengetatkan akta yang ada,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pembongkaran Jabatan Imigresen melalui akhbar hari ini berhubung taktik digunakan China Doll atau wanita dari China yang sanggup berkahwin dengan lelaki tempatan bagi memastikan mereka dibenarkan tinggal lebih lama di Malaysia.

Dengan perkahwinan itu, China Doll akan dibenarkan tinggal selama setahun di negara ini melalui pemberian pas lawatan sosial jangka panjang dan boleh memperbaharuinya setiap tahun berbanding tempoh hanya tiga bulan sebagai pelancong.

Kemudahan yang diberikan oleh Jabatan Imigresen itu dieksploitasi wanita berkenaan bagi memastikan mereka dapat terus bekerja dengan sindiket pelacuran di negara ini.

Abu Zahar berkata, setiap pegawai di jabatan atau bahagian berkenaan perlu komited sepenuhnya membanteras gejala tersebut dan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap sesiapa yang didapati tidak bersungguh-sungguh memantau masalah itu.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat tindakan tegas perlu dikenakan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas kemasukan.

“Walaupun China Doll ini berkahwin dengan rakyat tempatan, mereka perlu dikenakan tindakan kerana melacur,” katanya.

Sivamurugan berkata, cara terbaik mengelakkan warga asing mempermainkan undang-undang negara adalah dengan memantau mereka setiap masa dan jika bersalah, diharamkan masuk semula ke negara ini.

“Malaysia adalah negara Islam dan penuh dengan ciri-ciri ketimuran, jadi kegiatan ini jika dibiarkan, akan menjadikan Malaysia sarang gejala dan masalah sosial,” katanya.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, walaupun negara ini mengalu-alukan pelancong asing, tetapi ia adalah untuk tujuan yang positif antaranya lawatan, bekerja atau belajar.

Katanya, jika ada warga asing yang cuba mengambil kesempatan dengan ‘kebaikan’ kerajaan dan bermain dengan undang-undang negara ini, mereka perlu dikenakan tindakan tegas.

Tambah beliau, kegiatan tidak bermoral mereka akan memburukkan imej Malaysia.

“Saya melihat masalah ini sebagai isu serius kerana ia membabitkan nama baik negara.

“Jika benar ada gadis yang berkahwin dengan lelaki tempatan untuk melacur, pihak berkuasa perlu membanterasnya,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Bahagian Wanita dan Undang-undang Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Lee Sok Wah berkata, kes wanita warga asing berkahwin dengan lelaki tempatan untuk pelacuran sememangnya sudah wujud sebelum ini, namun jumlahnya amat kecil.

“Apa yang boleh dilakukan adalah Jabatan Imigresen perlu menyemak sama ada perkahwinan itu sah atau sebaliknya dan mengambil tindakan atau hukuman sewajarnya jika ia menyalahi undang-undang.

“Kaedah mengetatkan undang-undang kemasukan warga asing atau pelancong luar akan menghalang dan mungkin menjejaskan sektor pelancongan negara,” katanya.

2 ulasan:

  1. di sini saya tidak berpuas hati kepada pihak berkuasa tentang peniaga warga asing yang semakin berluluasa dan tidak mempunyai lesen atau menyalah guna pas lawatan sosial atau kad pegenalan penduduk tetap dan apakah tindakkan pihak berkuasa teteng isu panas yang sekian lama berluluasa dan saya pernah tenampak pihak berkuasa bertugas berkeloni degan peniaga warga asing jadi itu adakah pihak berkuasa tidak terfikir akan mejejaskan ekonomi negara kerana duit negara malaysia telah bayak di hantar di kampung jadi itu sepatunya pihak berkuasa atau pihak terbabit membuat pemantauwan atau siasatan degan segera sebelum menjadi virus negara malaysia....?

    BalasPadam
  2. lebih lebih lagi di lokasi tapak peniaga jalan masjid india baru,baru ini.jadi itu saya harap pihak berkuasa harus mengambil tindakan degan segera dan juga saya meminta kepada pihak berkuasa yang terbabit tolong jagan tutup mata kepada perniaga warga asing yang sudah sekian lama berluluasa tampa henti mahu degan sifar kurang ajar kepada warga tempatan selalu maki hamun kepada orang awam,

    BalasPadam